"Saya diberi kepercayaan. Peluang kedua ini akan saya pikul dengan semangat dan azam. Saya akan berikan yang terbaik" ulas bekas ikon bola sepak negara, Khalid Jamlus, yang kini berkhidmat sebagai penolong ketua jurulatih PDRM FC.

Ketika ditanya selepas perlawanan 'The Cops' bertemu pasukan lamanya, bekas penyerang Perak dan Malaysia ini mengakui tugas sukar menanti, namun pasti pengalaman lalunya sebagai pemain mampu membantu pasukan.

Menyingkap kembali prestasi lalu, gandingan sensasinya bersama Keita Mandjou di Perak pada tahun 2006 telah menghasilkan 15 jaringan daripada 36 gol.

Ini sekaligus meletakkannya selaku pendahulu untuk Anugerah Penyerang Paling Popular dalam Anugerah Bola Sepak Malaysia.

Di peringkat kebangsaan pula, Khalid menunjukkan prestasi yang membanggakan apabila menjadi penjaring kedua terbanyak dalam kejohanan Piala Tiger 2004. Dia turut meledak dua gol ketika perlawanan menentang Thailand untuk membantu Malaysia layak ke separuh akhir.

Selepas Piala Tiger, Khalid langsung tidak dipanggil untuk menyertai pasukan kebangsaan meskipun dia muncul selaku penjaring terbanyak tempatan.

Yang pastinya kini, wajah Khalid kekal dalam lipatan sejarah bola sepak Malaysia.