Bekas pemain bola sepak kebangsaan, Khalid Jamlus, terus menemui jalan buntu untuk menjana pendapatan lain bagi menyara keluarganya.

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berterusan semakin memudaratkan perusahawan kecil dan sederhana yang terpaksa gulung tikar disebabkan tidak lagi mampu menanggung kerugian.

"Sejak memulakan perniagaan ini pada Ogos tahun lalu, tiga bulan pertama saya masih dalam kerugian, masih mencari-cari.

"Kemudian pada penghujung Januari lalu barulah nampak ada penjualan (makin rancak) dan ia berterusan selama dua bulan.

"Selepas itu apabila PKP semakin diperketatkan dan sebulan sebelum puasa, perniagaan saya mula merundum memandangkan pelanggan tidak dibenarkan makan di gerai.

"Di situlah saya nampak permulaan keadaan ini hingga saya terpaksa keluarkan duit simpanan untuk pusingan modal.

"Ia berterusan sampai sekarang.

"Dengan duit simpanan saya sudah habis digunakan, saya terpaksa tutup (perniagaan) buat sementara waktu ini, mungkin sekejap atau tutup terus," katanya berkongsi situasi premis makanannya di Lepak Court, Kuala Langat, bersama wartawan Astro Arena, Yeoh Pek Xian.




Tahun lalu, dia terpaksa menjual Kasut Emas dimenanginya ketika mewakili Perak pada 2002.

Bagi bekas pemain kelahiran Perak itu, Kerajaan Malaysia seharusnya tidak memandang sepi nasib perusahaan kecil sepertinya dalam penularan COVID-19 ini.

"Kita akan rasa terkesan apabila kita tiada pekerjaan.

"Kalau ada bantuan jangka masa panjang untuk peniaga-peniaga ini, kami tidak akan mengeluh dan bersuara."