Peminat tegar bola sepak tanah air, terutama pasukan gergasi seperti Perak, Selangor dan Kelantan, pasti mengenali bekas penyerang berbisa yang menggunakan jersi nombor 25, Khalid Jamlus.

Sepanjang 13 tahun dalam kancah bola sepak profesional, antara kenangan manis yang dicapai bekas pemain negara itu adalah merangkul Anugerah Kasut Emas selepas meledakkan 17 gol dan membantu Perak menjuarai Liga Perdana 1 pada tahun 2002.

Zaman kemasyhuran Khalid bermula dengan skuad Olimpik 2000 sebelum menempa nama sebagai penyerang berwibawa tanah air.

Sepanjang lima tahun bersama Perak, dia telah menjaringkan 81 gol dalam 124 penampilan.

Bak kata pepatah, hidup umpama putaran roda, kadang kita di atas dan kadang di bawah.

Khalid kini ibarat hilang arah dan melalui detik sukar untuk meneruskan kelangsungan hidupnya.

Faktor kewangan menyebabkannya terpaksa menjual pingat, poster, jersi dan yang paling berharga, piala Anugerah Kasut Emas yang dimenanginya 18 tahun lalu.

Dalam satu temu bual eksklusif bersama wartawan Astro Arena, Fina Nasrom, hari ini, Khalid meluahkan isi hatinya yang telah terpendam sekian lama.

"Tindakan yang saya lakukan ini tidak menyalahi mana-mana undang-undang sebab saya buat apa yang saya rasa bersesuaian dan sepatutnya untuk hidup saya.

"Secara jujurnya, benda ini berlaku berpunca daripada PKP (perintah kawalan pergerakan) kerana sebelum itu saya ada terlibat menjadi duta FORCA.

"Sampai bila saya nak harapkan bantuan orang?

"Buat apa saya nak tularkan perkara ini? Pada dasarnya, saya buat sesuatu berdasarkan kata hati dan tidak menyalahi mana-mana pihak.

"Semuanya disebabkan faktor kehidupan, setelah tiga tahun tidak bekerja, saya terdesak.

"Sebagai ketua keluarga, saya telah mencuba bermacam-macam cara dan sudah menyuarakan hasrat untuk menjadi jurulatih pasukan Perak, Selangor dan FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia).

"Tetapi saya tidak nampak jalan itu dan tidak diberikan peluang dan ruang.

"Semuanya melibatkan wang, jadi kali ini, saya memilih untuk berjalan sendiri dan mengikut kata hati saya.

"Saya jual semua benda yang sudah pasti mempunyai nilai sentimental kepada saya.

"Semuanya hasil usaha dan keringat saya dan pasukan,

"Keadaan hidup saya mungkin berbeza dengan legenda-legenda di luar sana.

"Ini adalah satu platform buat legenda-legenda yang ada masalah (kewangan) seperti saya. Buatlah seperti apa yang saya buat, tak salah pun.

"Adakah saya dah terbujur kaku, ditutupi kain putih, baru anda nak datang jumpa dan bantu saya?

"Tak apa, lupakan lah, benda itu dah terlambat," katanya.

Tambahnya, kepada sesiapa yang menjadi pemilik barangan sentimentalnya itu selepas ini, jagalah ia dengan sebaik mungkin.

"Sesuatu yang kita sayang kalau terpaksa dilepaskan dengan alasan munasabah, saya lepaskan.

"Apa yang saya buat ini adalah berpautkan kepada kehidupan saya.

"Tetapi kepada pemiliki baru barangan bernilai saya itu, saya akan meminta mereka agar menjaga barangan itu seperti mana saya menjaganya," katanya lagi.