Rata-rata pemerhati bola sepak negara menjangkakan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, akan menarik diri daripada bertanding merebut jawatan presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Bekas pemain negara, Hasnizam Uzir, melahirkan keyakinan keputusan itu akan dibuat Khairy berdasarkan sikap terbuka yang dimiliki bekas timbalan presiden FAM itu.

"Tidak dinafikan, Khairy juga adalah seorang calon kegemaran untuk menggalas jawatan presiden FAM. Bagaimanapun, yang pasti saya ingin melihat kesediaan Khairy menarik diri selepas Tunku Ismail (Sultan Ibrahim) sedia bertanding jawatan itu," katanya.

Pandangan sama turut disuarakan Pengarang Eksekutif, The Malay Mail, Haresh Deol.

"Kenapa anda perlu sertai ketika anda tahu anda ada benda besar untuk dilakukan. Bolehkah Khairy memberikan 100 peratus terhadap bola sepak, terutama FAM?," soalnya.

Khairy pernah menyatakan kesediaan untuk menarik diri sekiranya Tunku Ismail sedia bertanding merebut jawatan presiden FAM selepas beliau turut dicalonkan untuk perebutan itu.

Tetapi Khairy belum menyatakan pendirian terbarunya berhubung perkara itu walaupun Tunku Ismail sudah mendapat perkenan Sultan Johor untuk bertanding merebut kerusi panas itu.