Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, berasakan pengendali skuad bola sepak kebangsaan, Nelo Vingada, perlu diberi sedikit masa dan tidak wajar dinilai selepas hanya satu perlawanan antarabangsa.

Aksi sulung skuad negara di bawah kendalian Vingada berakhir dengan kekalahan 2-1 kepada Lubnan dalam aksi kelayakan Piala Asia 2019 di Stadium Larkin, Selasa lalu.

Namun, Khairy menilai aksi pemain negara daripada sudut positif dan tetap percaya Vingada mampu menyerlahkan kebangkitan dalam baki aksi kelayakan selepas ini.

"Ranking Lubnan adalah jauh lebih tinggi daripada kita dan ini merupakan satu keputusan yang baik sebab kita menghampiri keputusan seri sehingga saat-saat akhir.

"Kita perlu positif dengan perkara ini dan jangan buat kesimpulan dengan mengatakan sudah gagal.

"Kejayaan tidak datang dengan mudah, kita harus berikan masa," katanya.

Dalam pada itu, Khairy berpuas hati dengan prestasi skuad B-22 negara dalam siri aksi persahabatan di China, baru-baru ini.

Skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee tewas 1-0 dalam aksi persahabatan pertama kepada skuad B-22 China sebelum seri 2-2 dengan skuad simpanan Guangzhou R&F.

Barisan muda negara menamatkan siri aksi persahabatan dengan kemenangan 3-0 ke atas skuad simpanan Guangzhou Evergrande, semalam.

"Saya harap latihan dapat diteruskan, pemain-pemain memberi tumpuan penuh kepada misi Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 dan yang penting, mereka mencapai kemuncak prestasi dalam temasya sukan SEA nanti.

"Jelajah China tampak telah menghasilkan prestasi, saya harap ia dapat dikekalkan."