Penjaga gol skuad negara, Khairulazhan Khalid, mengakui gementar untuk kembali menyarung jersi Malaysia dan menganggap perasaan itu hampir sama seperti kali pertama dia mewakili negara pada 2015.

Kali terakhir pemain Selangor itu mewakili Harimau Malaya adalah ketika di bawah kendalian Datuk Ong Kim Swee pada 2017.

Disebabkan faktor prestasi, namanya selepas itu kian tenggelam daripada skuad kebangsaan.

Namun, dia kembali mendapat kepercayaan ketua jurulatih negara, Tan Cheng Hoe, susulan kecederaan yang dialami penjaga gol Kedah, Ifwat Akmal Chek Kassim.

"Rasa agak kekok juga.

"Skuad pada 2017 berbeza dengan skuad ketika ini.

"Saya rasa seperti ia panggilan skuad kebangsaan pertama saya," katanya.

Pada usia yang menjangkau 30 tahun, anak jati Pahang itu yakin pengalaman yang dimilikinya mampu memperkuatkan benteng skuad negara menjelang pertemuan dengan Vietnam dalam pusingan kedua kelayakan Piala Dunia Qatar 2022 di Hanoi, 10 Oktober ini.

"Daripada segi persaingan, ia terpulang kepada jurulatih semata-mata.

"Setiap penjaga gol ada kelebihan masing-masing.

"Jka diberikan peluang untuk bermain, saya akan berikan 100 peratus untuk skuad negara," katanya.