"Saya masih belum mahu bersara," kata pertahanan veteran, Khairul Helmi Johari, yang masih mahu mewarnai saingan Liga Malaysia musim ini.

Pemain yang mesra disapa dengan panggilan Keon itu yakin dia masih mampu memberikan aksi terbaiknya biarpun sudah berusia 33 tahun.

Selepas menghabiskan 15 musim bersama Kedah Darul Aman FC, dia mengambil keputusan untuk menyertai Melaka United musim lalu sebelum dilamar Kelantan FC bagi saingan Liga Perdana musim ini.

Khairul Helmi berhasrat untuk memacu Kelantan kembali ke saingan Liga Super musim depan dan bertekad untuk kekal beraksi di pentas kompetitif selagi kudratnya ditagih.

"Saya masih tidak merancang untuk berhenti (bermain bola sepak)," katanya kepada wartawan Nadi Arena, Fadhirul Shuhaimi.

"Selagi saya rasa saya masih boleh bermain, Insya-Allah saya akan terus berusaha dalam latihan dan sejauh yang mungkin.

"Sebab saya tengok abang-abang legenda dan idola saya masih boleh pergi jauh (walaupun sudah berusia).

"Salah satunya (sebab) adalah percaya kepada rezeki. Jika ada rezeki saya, selagi itu saya akan berusaha.

"Untuk menentukan kesebelasan utama bukan tugas saya tetapi untuk bersaing secara sihat itu tugas saya.

"Jika saya tidak berada dalam kesebelasan utama, itu keputusan jurulatih.

"Kita perlu menghormati keputusan jurulatih dan yang penting, saya perlu memberikan 100 peratus dalam latihan," katanya.