Penjaga gol skuad kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat, sah menyertai Sabah FC bagi saingan musim 2022.

Perkara itu diumumkan dalam laman Facebook rasmi pasukan Borneo itu sebentar tadi.

Selepas tiga setengah tahun bersama Melaka United, pemain berusia 33 tahun itu memilih untuk membawa haluan berbeza bagi saingan Liga Malaysia tahun ini.

Sejak bergelar pemain profesional, Khairul Fahmi, yang mesra disapa Apek, pernah dua kali memenangi gelaran Liga Super, dua kali bergelar juara Piala Malaysia selain turut bergelar juara berganda Piala FA sepanjang bersama Kelantan dari 2009 hingga 2018.

Selain itu, Khairul Fahmi juga merupakan penjaga gol utama Harimau Malaya sewaktu bergelar juara Piala Suzuki AFF di bawah bimbingan Datuk K. Rajagobal pada 2010.

Lebih menarik, perpindahan itu juga akan mempertemukan semula Khairul Fahmi dengan ketua jurulatih, Datuk Ong Kim Swee, yang sebelum ini pernah membimbingnya bersama skuad B-23 negara memenangi pingat emas Sukan SEA Indonesia pada 2011.

Sebagai rekod, Sabah menamatkan saingan Liga Super musim lalu di tempat kesembilan dan layak ke suku akhir Piala Malaysia sebelum disingkirkan Melaka United.