Penjaga gol Melaka United, Khairul Fahmi Che Mat, berkemungkinan terpaksa melupakan aksi sulung kempen Piala Malaysia menentang PDRM FA di Stadium Hang Jebat, malam esok, berikutan masalah kecederaan.

Pemain yang lebih dikenali sebagai 'Apek' sebelum itu tidak dapat diturunkan dalam dua aksi terakhir Liga Super ketika bertemu PKNS FC dan Pahang ekoran kecederaan tumit.

Bagaimanapun, penjaga gol kebangsaan itu berkata sesiapa sahaja yang diberi kepercayaan menggalas tugas itu mampu melakukan yang terbaik untuk membantu pasukan mencari kemenangan dalam saingan Kumpulan D.

"Saya masih belum pasti dapat pulih sepenuhnya dalam perlawanan pertama ini dan perlu menunggu pengesahan daripada pegawai perubatan berkaitan tahap kecederaan sebelum dibenarkan beraksi kembali.

"Setiap pemain memang sentiasa bersedia daripada mental dan fizikal untuk perlawanan Piala Malaysia ini dan sekiranya penjaga gol lain diturunkan, saya tetap akan memberikan semangat dan berharap mereka lakukan sebaik mungkin," katanya.

Tugas menjaga gawang gol itu sebelum ini diambil alih Solehin Mamat yang diturunkan dalam dua perlawanan terdahulu.

Sementara itu, Solehin berkata sekiranya diberi kepercayaan oleh ketua jurulatih, Zainal Abidin Hassan, dia akan memberikan komitmen sepenuhnya untuk melakukan yang terbaik.

Peluang beraksi di laman sendiri perlu dimanfaatkan untuk meraih mata penting bagi memastikan pasukan mengumpul mata maksimum di peringkat kumpulan untuk melepasi pusingan seterusnya.

"Memandangkan Apek masih lagi cedera, saya dan seorang lagi penjaga gol, Oscar (Wong Tse Yeung) perlu bekerja keras dalam kempen Piala Malaysia ini.

"Kami difahamkan ada pemain utama PDRM yang mengumpul kad merah dan tidak dapat beraksi. Selain peluang bermain di tempat sendiri, ia peluang yang tidak boleh disia-siakan," katanya.

Melaka United diundi dalam Kumpulan D bersama-sama Selangor, Felda United dan PDRM bagi merebut piala berpestij dalam saingan bola sepak tempatan itu.

-- BERNAMA