Penjaga gol berpengalaman negara, Khairul Fahmi Che Mat, menegur tindakan sesetengah pemain kebangsaan yang terlalu melayan kritikan sehingga mengganggu tumpuan mereka sebagai pemain profesional.

Sebaik menyarung jersi negara, tiada pemain yang mampu lari daripada teguran sekiranya gagal membantu pasukan mencapai matlamat, apatah lagi keputusan seri 2-2 dengan Mongolia, Khamis lalu, menyaksikan Malaysia sekali lagi gagal mencipta kemenangan sejak November 2016.

"Dalam bola sepak, ia perkara biasa apabila dipuji ketika menang dan menerima kritikan ketika sesuatu yang tidak diingini berlaku. Kami harus bersedia," ujarnya.

Selepas kehilangan pilihan utama kepada Muhammad Haziq Nadzli, Khairul Fahmi yang sememangnya sinonim dengan skuad negara satu ketika dulu bertekad untuk membalas kepercayaan barisan kejurulatihan yang diketuai Tan Cheng Hoe.

Bagaimanapun, posisi kesebelasan utama memerlukannya untuk bersaing dengan dua lagi penjaga gol, iaitu Shahril Saari dan Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy.

"Saya cuma fokus untuk perlawanan, jadi apa sahaja amanah yang diberi oleh jurulatih, saya akan cuba sempurnakan sebaik mungkin. Tiada istilah senior atau junior kerana apabila beraksi di atas padang, semua pemain harus beraksi dengan baik," tambahnya.