Jawatankuasa Status Pemain, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengarahkan Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) menjelaskan afidavit yang dikemukakan pengurusan Felda United berhubung kedudukan bek kanan, Rizal Ghazali.

Pemain kebangsaan itu menjadi rebutan Kedah dan Felda sejak akhir musim lalu dan The Fighters tetap meneruskan tuntutan terhadap pemain itu sehingga membawa perkara itu ke jawatankuasa berkenaan.

Menurut Timbalan Pengerusi, Jawatankuasa Status Pemain FAM, Abdul Aziz Yeob Jamaluddin, KFA perlu menjawab afidavit yang dikemukakan Felda walaupun skuad Lang Merah sudah mendaftarkan Rizal sebagai pemain mereka musim ini.

"Kami telah menghantar surat kepada KFA untuk memberikan jawapan sehingga 27 Januari dan dari situ, kami akan memutuskan tarikh mesyuarat sebenar," katanya.

Abdul Aziz percaya isu perebutan Rizal di antara Kedah dan Felda akan dileraikan dalam masa terdekat serta turut berharap pengurusan kedua-dua pasukan mampu menyelesaikannya secara baik memandangkan saingan musim baru sudah pun bermula.

Selain isu membabitkan Rizal, Jawatankuasa Status Pemain turut mengarahkan Persatuan Bolasepak Sarawak memberi penjelasan berhubung penamatan khidmat beberapa pemain secara sebelah pihak.

"Pada 17 Januari, kami telah menerima afidavit daripada empat pemain dari Sarawak mengenai kes penamatan kontrak sebelah pihak. Kami telah menghantar surat kepada persatuan itu untuk memberikan jawapan mengenai perkara tersebut," kata Abdul Aziz.