ITALI 3 URUGUAY 0

Giampiero Ventura percaya Itali berada di landasan tepat menjelang aksi kelayakan Piala Dunia untuk terus memberi tekanan kepada pendahulu, Sepanyol.


Skuad bimbingan Ventura meneruskan rentak tanpa kalah dalam sembilan perlawanan terakhir apabila menundukkan Uruguay 3-0 di Nice.

Mereka dijangka melebarkan rekod itu kepada 10 perlawanan apabila menanti kunjungan Liechtenstein dalam aksi kelayakan di Udine, hujung minggu ini.

Itali dan Sepanyol terikat 13 mata selepas lima perlawanan Kumpulan G, ini bermakna pertembungan kedua-dua pasukan di Madrid pada September depan akan menentukan slot automatik ke Russia 2018.

Berikutan kejayaan terbaru itu, Ventura berasa senang dengan kemajuan anak buahnya dan berharap mereka mampu mengecewakan bekas juara dunia itu nanti.

"Beberapa objektif kami mula berhasil," katanya kepada Rai Sport. "Kebanyakannya (ketika menentang Uruguay) adalah berkenaan mentaliti, selalunya aksi ujian Itali tidak begitu bagus.

"Kami menampilkan pendekatan yang betul dengan tidak memberi ruang kepada lawan untuk menembusi kami, mempunyai enam hingga tujuh peluang gol dan permainan juga kemas.

"Masih banyak yang perlu dilakukan, malangnya kami tidak punya banyak masa untuk memperbaikinya. Namun, saya gembira. Bukan mudah untuk menampilkan aksi kemas dalam tempoh singkat.

"Saya sudah lama berkecimpung dalam bola sepak, jadi saya tahu kemenangan ini bukanlah jaminan, anda perlu sedar siapa diri anda dan buktikannya dalam setiap masa.

"Kami memiliki peluang untuk melakukan sesuatu yang penting pada masa hadapan."

Pemain gantian, Eder, menjaringkan gol lewat di Allianz Riviera selepas Jose Gimenez meletakkan Itali di hadapan pada awal permainan dengan sepakan penalti Daniele De Rossi pada masa kecederaan melengkapkan kemenangan mereka.

Eder turut melaungkan keyakinan jurulatihnya ketika mereka berdepan Sepanyol kelak, tetapi sedar mereka tidak seharusnya memandang ringan cabaran Liechtenstein.

"Kami percaya mampu beraksi baik di Sepanyol.

"Jurulatih mengadunkan pemain veteran dan memperkenalkan pemain muda yang sangat bagus.

"Tiada apa yang terjamin. Kami sedang berusaha untuk berada dalam prestasi terbaik untuk berdepan Liechtenstein -- itu yang mustahak ketika ini."