Ketua Pegawai Eksekutif, Usahasama Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP), Kevin Ramalingam, menegaskan isu pemotongan mata kepada pasukan yang gagal menjelaskan tunggakan gaji pemain akan ditetapkan esok selepas tempoh pembayaran insentif oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berakhir hujung minggu lalu.

FAM pada Khamis lalu telah melangsaikan baki bayaran RM9 juta kepada 24 pasukan, iaitu RM500,000 untuk pasukan Liga Super dan RM250,000 bagi pasukan Liga Perdana.

Badan induk itu juga melengkapkan wang insentif tahunan kepada setiap pasukan bagi tahun ini sebanyak RM1 juta buat pasukan Liga Super dan RM500,000 untuk pasukan Liga Perdana, dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM18 juta.

Presiden FAM, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, sebelum ini menyarankan agar wang berkenaan digunakan sebaik mungkin oleh setiap pasukan, termasuk melunaskan tunggakan gaji pemain, bagaimanapun, masih ada pasukan yang bergedil kerana tidak berbuat demikian.

"Seperti yang saya katakan sebelum ini, kami tidak pernah umumkan nama-nama pasukan terlibat oleh kerana tidak adil untuk kami umumkan selagi tindakan belum diambil.

"Jadi, selepas surat-surat itu telah dikeluarkan kepada pasukan esok, kami akan membuat pengumuman rasmi mengenai isu pemotongan mata," kata Kevin.

Untuk rekod, sebanyak enam pasukan berdepan hukuman pemotongan mata kerana terbabit dengan masalah tunggakan gaji pemain.

Membabitkan dua pasukan Liga Super dan empat pasukan Liga Perdana, ia membabitkan jumlah keseluruhan sebanyak RM5 juta.

"Apa yang FMLLP sedang kuatkuasakan ialah isu berbangkit dari tahun 2016 dan sebelumnya. Ini bukan isu dari 2017," tambahnya.