Arsene Wenger mengulangi komitmennya adalah kepada Arsenal selepas sekali lagi dikaitkan dengan tugasan pasukan kebangsaan England.

Pemergian Sam Allardyce kelmarin selepas hanya mengendalikan satu perlawanan, memaksa Persatuan Bola Sepak England mencari pengurus pasukan yang baru, walaupun pengendali pasukan kebangsaan England B-21, Gareth Southgate, akan mengendalikan pasukan senior untuk empat perlawanan akan datang.

Wenger, yang meraikan 20 tahun membimbing Arsenal pada hujung minggu ini, telah dikaitkan dengan kedudukan itu sebelum ini, dengan kontrak semasanya di Stadium Emirates akan tamat pada akhir musim ini.

Bercakap selepas Arsenal meraih kemenangan 2-0 ke atas Basel dalam Liga Juara-Juara malam tadi, pengendali dari Perancis itu mengakui dia berbesar hati apabila dikaitkan sebagai calon untuk mengisi kekosongan itu tetapi menegaskan dia hanya memberikan tumpuan kepada majikannya sekarang.

"Keutamaan saya sentiasa kepada kelab ini. Sehingga akhir musim ini, saya di sini dan akan memberikan tumpuan sepenuhnya kepada pasukan," katanya kepada pemberita.

"Banyak kali telah saya katakan bahawa keutamaan saya adalah Kelab Bola Sepak Arsenal, saya perlu menilai bagaimana saya mengendalikan pasukan sehingga akhir musim ini."

Arsenal melebarkan rekod tanpa kalah kepada lapan perlawanan dengan kemenangan ke atas lawan mereka dari Switzerland itu malam tadi.

Pemain yang berada dalam prestasi terbaik, Theo Walcott, menjaringkan kedua-dua gol untuk pasukan tuan rumah pada separuh masa pertama, menyaksikan dia kini telah menjaringkan empat gol dalam tiga perlawanan.

"Saya ingin mengucapkan tahniah kepada pasukan saya untuk kualiti permainan bola sepak yang telah mereka pamerkan. Aksi separuh masa pertama adalah terbaik, ia merupakan aksi kelas tertinggi," Wenger memberitahu laman web rasmi kelab itu.

"Kami perlu bercita-cita tinggi tetapi juga perlu memastikan kami mengawal perlawanan. Kami tahu bagaimana kami mahu beraksi, tetapi kami masih mahu menjadi lebih baik."

Arsenal dan Paris Saint-Germain kini berkongsi kedudukan teratas Kumpulan A selepas berkongsi empat mata.