Jurulatih T-Team, Rahmad Darmawan, berpuas hati dengan aksi pasukannya meskipun terus keciciran mata selepas diikat tanpa jaringan oleh Felda United di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam tadi.

“Dalam saingan musim ini, perlawanan itu adalah persembahan terbaik kami," katanya. "Banyak peluang dicipta, cuma tidak bernasib baik untuk menjaringkan gol dan itu satu masalah baru buat kami."

“Pemain menunjukkan semangat dan karektor yang positif berbanding aksi sebelum ini, malah menampilkan kombinasi sempurna dengan hantaran-hantaran yang menjadi. Keserasian pasukan sudah mula membuahkan hasil, cuma kami gagal menghasilkan jaringan."

Enggan keciciran mata di halaman sendiri, The Titans menguasai perlawanan, terutama dalam 45 minit kedua, tetapi dikecewakan ketumpulan penyudah dalam deretan peluang terhidang.

T-Team terpaksa berpuas hati berkongsi satu mata walaupun Felda kekurangan seorang pemain, 12 minit sebelum wisel penamat dibunyikan.

“Kami cuba memberi tekanan selepas Felda beraksi dengan 10 pemain tetapi selepas Nor Hakim (Hassan) dikeluarkan, kami kehilangan kepantasan lariannya untuk membantu serangan.

“Ada peningkatan dalam permainan yang ditunjukkan semua pemain dan saya berharap kami mengekalkan aksi sebegini. Aspek penyudah perlu diberi perhatian, namun secara keseluruhan saya berpuas hati," tambahnya.

The Titans kini menghuni tangga ketujuh liga dengan mengumpul sembilan mata manakala Felda kekal di kedudukan ke-11 dengan hanya enam mata daripada tujuh perlawanan.