Sungguhpun tiada impak besar yang diberikan Kyrian Nwabueze yang disenaraikan dalam kesebelasan utama sementara Ryan Lambert pula terlebih dahulu mengisi bangku simpanan, Kuala Lumpur City memilih untuk tidak terlalu cepat menilai.

Beberapa peluang terhidang gagal digunakan sebaiknya Nwabueze yang kemudiannya dikeluarkan ekoran kecederaan pada minit ke-65 ketika bertemu Selangor bagi aksi 'derby' Lembah Klang di Cheras, malam tadi, yang berkesudahan 1-1.

"Dia memiliki peluang untuk disudahkan melalui kaki dan di udara.

"Dua lagi situasi pula menerusi kaki kanan dan kiri.

"Mudah untuk diperbaiki kalau ini adalah perlawanan Playstation tapi di atas padang, bukan mudah untuk membuat keputusan.

"Mereka hanya perlukan perlawanan untuk mencapai keserasian," kata ketua jurulatih Warga Kota, Bojan Hodak.





Dalam masa sama, Karsten Nietzel menganggap perkongsian mata itu adalah yang terbaik merujuk kepada situasi pasukannya yang berhadapan dengan masalah kecederaan pemain utama.

Jurulatih Selangor itu menegaskan ia bukan aksi terbaik tetapi yakin ia mampu diperbaiki untuk perlawanan seterusnya bertemu Johor Darul Ta'zim (JDT) yang mungkin mendorongnya menampilkan barisan sama Rabu depan.

"Kami kehilangan Brendan (Gan), Tim (Heubach) Safuwan (Baharuddin), Halim (Saari) dan Shahrel Fikri Fauzi. Mereka ini merupakan tonggak utama.

"Tetapi saya tetap berpuas hati dengan persembahan hari ini meskipun bukanlah 100 peratus.

"Bagaimanapun, kami masih mampu tingkatkan prestasi dalam pelbagai aspek.

"Kelab akan mengumumkan situasi sebenar dihadapi Brendan memandangkan ia belum dianalisa dengan terperinci," kata pengendali kelahiran Jerman itu.