Jurulatih Terengganu FC (TFC), Irfan Bakti Abu Salim, menyifatkan ketumpulan penyudah sebagai punca keputusan seri 1-1 dengan PKNS FC di Kuala Terengganu, malam tadi.

TFC, menurutnya, menghasilkan tujuh percubaan tepat ke arah pintu gol lawan berbanding hanya dua dilakukan PKNS, namun gagal disudahkan dengan baik.

Ketiadaan tonggak import, Lee Tuck, juga memainkan peranan sehingga menyaksikan TFC memerlukan 89 minit untuk Abdul Malik Mat Ariff memadamkan gol pembukaan Nicholas Swirad.

"Ini adalah persembahan terbaiknya sejak aksi pra-musim tapi saya mahukan lebih lagi daripada (Kipre) Tchetche.

"Jentera tengah kami tidaklah begitu teruk, cuma agak lambat memberi tekanan dan saya tetap puji semangat tidak menyerah kalah pemain-pemain," ujarnya.

Mengulas aksi sulung awang import, Sanjar Shaakhmedov, Irfan berkata pemain itu sepatutnya menjadi pencetak gol sekiranya berani membuat keputusan sendiri.

"Walaupun dikawal rapi Akram (Mahinan), dia (Shaakhmedov) masih berjaya mencari ruang dan menggerakkan bahagian tengah," tambahnya.

Kredit foto: Footballclubterengganu