Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sarawak, Abdullah Saidol, dikhabarkan akan mengisi "kerusi panas" presiden Persatuan Bolasepak Negeri Sarawak (FAS) yang baharu.

Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Semop itu dikatakan dipancing oleh pimpinan baharu FAS, bagi memberi nafas dan sentuhan baharu kepada persatuan itu, selepas Datu Sudarsono Osman dan Datu Abu Bakar Marzuki membuat keputusan untuk mengundurkan diri.

Menurut sumber FAS, Abdullah, 50 tahun, dipilih kerana pengalamannya dalam bidang korporat dan sering terlibat dalam proses penstrukturan semula syarikat-syarikat korporat di negara ini.

"Kami percaya Abdullah yang mempunyai latar belakang dalam bidang undang-undang mampu mengubah bentuk pentadbiran FAS serta menyuntik pelbagai elemen baharu untuk persatuan ini maju ke hadapan," kata sumber itu lagi.

Sebelum menyertai politik, Abdullah pernah bekerja dengan beberapa syarikat korporat seperti Perangsang Selangor Berhad, Bursa Saham Kuala Lumpur dan Institut Penyelidikan Pelaburan Malaysia.

Beliau kini juga merupakan Ahli Lembaga Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Ketika dihubungi, Abdullah mengakui telah dimaklumkan berhubung cadangan itu.

"Saya telah menolak tawaran pelantikan ini secara baik, tetapi kumpulan ini berjumpa dengan Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem, untuk mendapatkan pandangan.

"Dan hari ini (Jumaat), Ketua Menteri berjumpa dengan saya berhubung perkara ini," katanya menerusi Whatsapp.

FAS memerlukan biaya sekurang-kurangnya RM15 juta hingga RM20 juta setahun untuk mengurus pasukannya yang beraksi dalam liga tempatan.

Selain untuk membayar gaji pemain, sebahagian besar perbelanjaan tersebut adalah untuk menguruskan perjalanan dan penginapan.

Dalam mesyuarat agungnya pada 17 September lalu, jawatan Presiden FAS itu dikosongkan mengikut perlembagaan bagi memilih "orang baharu" setelah Sudarsono bertegas dengan keputusannya untuk tidak dipilih semula.

Dalam mesyuarat tersebut, Abdul Wahab Rahim dari Persatuan Bola Sepak Sarikei dipilih sebagai timbalan presiden FAS, sekali gus memangku jawatan presiden untuk sementara waktu.

Empat muka baharu kemudian dipilih sebagai naib presiden, iaitu Cassidy Morris, Abang Suhordie Abang Zaini, Duke Janteng dan Dato Posa Majais manakala seorang muka lama, Razali Dolhan, mengekalkan kedudukannya.