Kelab Serie A, Fiorentina, mengesahkan ketua pasukan, Davide Astori, meninggal dunia.

Laporan mengatakan pemain berusia 31 tahun itu ditemui di bilik hotelnya pada awal pagi ini, hanya beberapa jam sebelum pertembungan dengan Udinese.

"Fiorentina amat berdukacita untuk mengumumkan bahawa kapten, Davide Astori, telah meninggal dunia," kata kelab itu dalam satu kenyataan.

"Untuk tempoh yang dahsyat dan rumit ini, demi menghormati keluarganya, kami merayu sensitiviti media."

Udinese menerusi Twitter mengumumkan perlawanan itu akan ditangguhkan manakala pertemuan di antara Genoa dan Cagliari juga telah ditangguhkan.

Malah, baki perlawanan Serie A pada hari ini juga mungkin ditangguhkan.

Menurut laporan tempatan di Udine, Astori meninggal dunia semasa tidur di hotel penginapan pasukan itu di La di Moret.

Astori, yang genap 31 tahun pada Januari lalu, menyertai Viola pada Ogos 2015.

Pemain antarabangsa Itali itu telah membuat 25 penampilan dalam kempen Serie A musim ini, dengan yang terbaru meraih kemenangan 1-0 ke atas Chievo, minggu lalu.