Pengendali Sarawak, David Usop, mengakui pasukannya merasai ketiadaan Mateo Roskam selepas tewas 2-1 dalam aksi kedua Kumpulan D, Piala Malaysia berdepan Selangor di laman sendiri.

Ini kekalahan kedua Sarawak selepas dibelasah 4-0 oleh Johor Darul Ta'zim (JDT), Selasa lalu.

Kehilangan Roskam ekoran masalah kecederaan memaksa David menurunkan Nur Shamie Iszuan sebagai penyerang utama, malam tadi.

Bagaimanapun, pemain berusia 21 tahun itu bergelut menghasilkan impak lalu membantutkan jentera serangan skuad Bujang Senang.

Hasilnya, Selangor mencuri peluang menerusi gol pembukaan Francis Forkey Doe menghampiri hujung babak pertama.

Sarawak menerima tamparan kali kedua apabila pertahanan, Mohd Dzulazlan Ibrahim, menjaringkan gol sendiri.

Walaupun Sarawak kembali merapatkan jurang menerusi gol Shreen Tambi, mereka tidak mampu menemui jaringan penyamaan dan terpaksa akur dengan kekalahan.

"Kami kehilangan kekuatan di bahagian serangan ekoran ketiadaan Roskam, jadi saya terpaksa menurunkan pemain yang pantas seperti Nur Shamie tetapi dia tidak memiliki fizikal yang kuat. Kami amat merasai ketiadaan Roskam," jelas David.

Sementara itu, pengendali Selangor, P. Maniam, mengakui pasukannya lega dengan kutipan tiga mata setelah terikat seri 1-1 berdepan Terengganu dalam aksi pertama sebelum ini.

"Babak pertama kami menguasai permainan dan bukan mudah melakukannya, apatah lagi bermain di Sarawak. Bagaimanapun, saya tetap berpuas hati dengan persembahan pemain kerana berjaya mengutip tiga mata," katanya.