Pengendali Arsenal, Arsene Wenger, percaya badan bola sepak bakal berdepan tindakan undang-undang disebabkan keputusan yang salah oleh pengadil selagi rakaman video tidak diperkenalkan.

Persatuan Bolasepak England (FA) minggu lalu mengumumkan akan melakukan percubaan terhadap bantuan rakaman video dalam pusingan ketiga Piala FA musim depan, sejajar dengan langkah yang disyorkan Lembaga Bolasepak Antarabangsa.

Sementara itu, aksi suku akhir Piala FA musim ini akan memperlihatkan penggunaan pemain gantian keempat sekiranya mana-mana perlawanan di bawa ke masa tambahan.

The Gunners dijangka akan menyelesaikan perlawanan dalam tempoh 90 minit berdepan wakil Liga Bola Sepak Kebangsaan, Lincoln City, malam ini.

Meskipun kedudukannya selaku pengendali masih dalam persoalan, jurulatih berusia 67 tahun itu ingin melihat cadangan FA dilaksanakan selepas keputusan kontroversi pengadil menyebabkan pasukannya kecundang 5-1 di tangan Bayern Munich dalam aksi Liga Juara-Juara.

"Saya percaya, dalam masa beberapa tahun lagi, jika UEFA menolak bantuan rakaman video, mereka bakal berdepan tindakan undang-undang," ujar Wenger.

"Itulah yang akan berlaku kerana ramai pihak berbelanja besar bagi menyiarkan dan menyaksikan peralwanan bola sepak."