Jurulatih skuad negara, Datuk Ong Kim Swee, memutuskan tiada penambahan pemain walaupun baki satu slot dalam pasukan kebangsaan gagal diisi tonggak Perak, Nazirul Naim Che Hashim.

Pemain itu disisihkan selepas mengalami kecederaan ketika menentang Kedah dalam Piala FA, Sabtu lalu.

Slot yang ditinggalkan Nazirul tiada pengganti kerana Kim Swee dilihat memiliki perancangan lain untuk skuad negara bagi menghadapi Filipina dalam perlawanan persahabatan, 22 Mac ini.

Kim Swee menjelaskan, dia akan menggunakan peluang itu untuk menguji Matthew Davies dan Khair Jones di bahagian pertahanan kiri, berdasarkan keperluan negara dalam menafikan sebarang kelebihan anak buah Thomas Dooley di Manila nanti.

"Saya dah buat keputusan, tiada penambahan pemain buat masa ini," katanya. "Jones boleh beraksi di sebelah kiri. Davies juga pernah diturunkan di sebelah kiri ketika saingan Piala Suzuki lalu selain kami mempunyai Rizal Ghazali."

Berhubung keputusan yang bakal diumumkan Konfederasi Bolas Sepak Asia (AFC) esok mengenai status pertembungan dengan Korea Utara, Kim Swee menegaskan keutamaannya ketika ini adalah keselamatan pasukan negara.

"Apa sahaja keputusan AFC, ia tidak akan memberi impak besar kepada kami selagi soal keselamatan pemain dan pegawai Malaysia terjamin. Kami perlu pergi.

"Andai Kerajaan Malaysia kata tidak boleh pergi, maka kami tidak akan pergi."

Malaysia dan Korea Utara akan bertemu dalam saingan kelayakan Piala Asia 2019 ketika berlaku ketegangan hubungan diplomatik di antara kedua-dua negara.