ATLETICO MADRID 2 BARCELONA 0

Diego Simeone tidak berasakan Atletico Madrid pasukan yang lebih baik ketika berdepan Barcelona dalam pertemuan awal pagi tadi berbanding perlawanan-perlawanan terdahulu, sambil berkata ketiadaan Lionel Messi menjadi faktor utama pasukannya menang 2-0 kali ini.

Atletico mempunyai rekod buruk ketika menentang Barca sepanjang Simone mengendalikan kelab itu -- 20 perlawanan tanpa kemenangan sebelum menang 1-0 musim lalu.

Bagaimanapun, mereka kini merekodkan tiga perlawanan LaLiga tanpa dibolosi ketika berdepan pasukan Blaugrana itu selepas terikat 0-0 musim lalu dan yang terbaru, menang 2-0 dalam perlawanan di Wanda Metropolitano awal pagi tadi.

Barca menguasai 70.4 peratus permainan tetapi hanya dapat melakukan sembilan percubaan sepanjang 90 minit.

Messi, yang kini menjadi sebahagian daripada kelab Perancis, Paris Saint-Germain (PSG), menjaringkan 26 gol sepanjang 30 pertemuan LaLiga dengan Atletico -- hanya menjaringkan lebih banyak gol ke atas Sevilla (30) dan Valencia (27) -- dan Barca kelihatan kurang menyengat tanpa bekas ayam tambatannya itu.

"Ia merupakan kali pertama kami menentang Barca tanpa Messi," kata Simeone dalam sidang media.

"Perlawanan yang lain tidak terlalu berbeza dengan perlawanan kali ini tetapi mereka kini tiada Messi."

Sebaliknya, Atletico kelihatan amat berbahaya di bahagian serangan yang diketuai bekas bintang Barca, Luis Suarez.

Dia membantu gol pembukaan Thomas Lemar, yang kemudian membalas jasa itu untuk membantu Suarez pula menemui jaringan pertamanya ke atas Barca -- bermakna Suarez telah menjaringkan gol ke atas kesemua 31 pasukan dalam liga divisyen utama Sepanyol.

Joao Felix turut terlibat dengan kedua-dua jaringan itu tetapi Simeone belum bersedia untuk mengumumkan bahawa Joao Felix dan Suarez akan menjadi pilihan utamanya di jentera serangan.

"Pada ketika ini, kami tidak boleh terbawa-bawa dengan satu perlawanan.

"Terdapat juga momen (Angel) Correa bersama (Antoine) Griezmann. Dia menjaringkan gol dalam Liga Juara-Juara Eropah (UCL).

"Kami mempunyai pemain yang penting. Harap-harap mereka dapat menerima bahawa kami boleh menjadi satu kumpulan agar kami dapat menjadi satu pasukan," tambahnya.