Ketiadaan import jejas UiTM

Penulis Jemputan
Ogos 19, 2019 11:01 MYT
Pengendali UiTM FC, Ismail Zakaria, mengakui ketiadaan dua pemain import untuk perlawanan ketiga Kumpulan B, Piala Malaysia menjejaskan prestasi skuad kendaliannya apabila tewas 0-1 kepada Petaling Jaya (PJ) City FC, malam tadi.
Keputusan di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya itu melonjakkan kedudukan skuad bimbingan K. Devan itu ke tangga kedua kumpulan sambil The Lions tewas ketiga-tiga perlawanan.
Ismail terkilan dengan peluang yang disia-siakan anak buahnya berikutan ketiadaan dua tonggak import, Maycon Calijuri dan Park Yongjun, ekoran kecederaan lutut dan paha yang dialami.
Atas nasihat doktor, mereka perlu direhatkan sekurang-kurangnya dua bulan.
"Kami hanya mempunyai dua pemain import dan khidmat mereka tidak lagi boleh digunakan, terpaksalah kami mengetengahkan pemain tempatan sahaja.
"Tetapi saya bangga kerana pemain tempatan dapat peluang untuk bermain, menyumbang tenaga dan menunjukkan kebolehan mereka untuk musim depan," kata Ismail.
Sementara itu, Devan gembira dengan cara skuad kendaliannya mengawal perlawanan selain usaha mencipta peluang menjaringkan gol.
Justeru, beliau menuntut barisan pemainnya agar meneruskan rentak cemerlang dalam misi meletakkan mereka di kedudukan yang lebih selesa.
"Pemain telah berikan aksi terbaik kerana sedar mereka bermain di tempat sendiri.
"Tiada rungutan daripada saya mengenai persembahan mereka.
"Mereka berusaha keras dan tahniah buat mereka," katanya.