Jurulatih Sri Pahang, Dollah Salleh, menganggap insiden kad merah membabitkan pertahanan importnya, Herold Goulon sebagai 'titik perubahan' kekalahan kepada Kedah Darul Aman dalam aksi Liga Super, semalam.

Goulon dilayangkan kad merah pada minit ke-17 kerana mengasari penyerang Kedah, Kpah Sherman.

Ia sekali gus merencatkan percaturan Dollah hingga terpaksa melakukan rombakan di bahagian pertahanan.

"Kami telah memberikan tentangan kepada Kedah walaupun terpaksa menerima keputusan pengadil. Walaupun dengan 10 pemain dalam separuh masa pertama, kami telah mencuba tetapi perlu menerima keputusan ini," kata Dollah.

Kesempatan itu dimanfaatkan Kedah apabila membuka jaringan menerusi kapten, Baddrol Bakhtiar pada minit ke-37.

Pahang berjaya menyamakan kedudukan hasil jaringan Nur Izzat Che Awang berpunca daripada serangan balas.

Kebangkitan Tok Gajah dipadamkan Kedah menerusi dua gol pada babak kedua, masing-masing menerusi Sherman dan Baddrol.

"Saya memberikan pujian kepada Kedah kerana meraih tiga mata dalam perlawanan ini dan akan cuba melakukannya dalam perlawanan berikutnya berdepan Selangor," kata jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak.