Pengendali Monaco, Leonardo Jardim, bersedia untuk memberikan peluang pemain muda, Pietro Pellegri, melakukan penampilan pertamanya buat kelab susulan kecederaan yang menimpa kapten, Radamel Falcao.

Falcao mengalami kecederaan paha sehingga membuatkan Jardim terpaksa melupakan khidmat penjaring terbanyak pasukan itu selama tiga minggu.

Pellegri, 16 tahun, yang menyertai Monaco dari Genoa dengan yuran perpindahan EUR25 juta (RM120 juta), masih belum beraksi walaupun disenaraikan di bangku simpanan ketika bertemu Lyon, Ahad lalu.

"Stefan Jovetic boleh beraksi selaku penyerang tengah. Adama Diakhaby juga boleh bermain di barisan depan tetapi terdapat dua pemain muda di posisi itu, iaitu Pellegri dan Moussa Sylla.

"Pellegri baru berada di sini selama dua minggu dan saya mahu memberikannya ruang untuk membiasakan diri bagi memahami corak pasukan tetapi apabila ramai yang tidak dapat bermain, dia mungkin akan turun lebih awal," kata Jardim.

Masalah kecederaan juga menyebabkan Jovetic hanya dapat beraksi sebanyak tiga kali pada musim ini tetapi Jardim percaya penyerang Montenegro itu mampu menyumbangkan sesuatu buat pasukan.

"Jovetic memulakan aksi musim ini tetapi kemudian mengalami kecederaan. Dia kini telah menjalani latihan dan beraksi.

"Aksinya ketika menentang Montpellier dan Lyon membuktikan kualiti teknikal yang dimilikinya mampu menjadi peranan utama buat pasukan," ujarnya.

Juara bertahan Ligue 1 itu akan menentang Angers esok tanpa Diego Benaglio dan Adama Traore tetapi Thomas Lemar dijangka beraksi.