Sang Badak mungkin berdepan sedikit masalah apabila turun melayan kunjungan ATM FA di Stadium Likas, Jumaat ini.

Ini kerana pasukan yang terkenal dengan jolokan Sabah Rhinos itu bakal kehilangan pertahanan utama mereka, Igor Cerina, yang dilayangkan kad merah pada aksi lalu.

Ketiadaan Cerina itu pastinya dirasai skuad kendalian Steve Vilmiaire kerana pemain berasal dari Croatia itu jarang tersisih daripada kesebelasan utama sejak musim lalu lagi.

Selain menjadi sandaran utama Sang Badak untuk mengekang serangan lawan, Cerina juga adalah antara penjaring utama pasukan itu musim lalu.

Pengurus Sabah, Adlane Messelem, berkata ketiadaan Cerina menjejaskan sedikit persiapan pasukan itu bagi menghadapi perlawanan bertemu ATM, esok.

Bagaimanapun, beliau berkata pasukan itu masih memiliki beberapa pilihan pemain lain yang mampu menggalas tugas yang ditinggalkan Cerina buat sementara.

"Igor (Cerina) akan terlepas aksi bertemu ATM, kami belum pasti siapa yang akan menggantikan tempatnya.

"Bagaimanapun, kami ada 25 pemain dalam pasukan dan mereka perlu sentiasa bersedia untuk diturunkan...Ia juga satu peluang kepada mereka dan saya harap pemain yang diberi tanggungjawab itu nanti akan beraksi sebaik Cerina," katanya ketika ditemui, di Kota Kinabalu, semalam.

Cerina digantung satu perlawanan selepas dilayangkan kad merah apabila mengutip kad kuning kedua pada perlawanan bertemu Perlis di Stadium Tuanku Syed Putra, Kangar, Jumaat lalu.

Perlawanan itu menyaksikan Sang Badak meraih kemenangan pertama mereka musim ini selepas dua kekalahan berturut-turut.