Ketiadaan Aubameyang jejas Arsenal tapi Arteta jangka sesuatu daripada Martinelli

Muzaffar Musa
Januari 26, 2021 03:05 MYT
Waktu rehat panjang Pierre-Emerick Aubameyang mungkin menjadi masalah buat Arsenal tetapi Mikel Arteta menjangkakan sesuatu yang besar daripada Gabriel Martinelli.
Arsenal turun tanpa Aubameyang ketika tewas 0-1 kepada Southampton dalam Piala FA hujung minggu lalu selepas pemain kebangsaan Gabon itu meninggalkan pasukan berkenaan berikutan masalah peribadi.
Arteta tidak pasti seberapa lama penyerang itu akan berehat dan mungkin tidak akan menamakan pemain itu dalam pertemuan kedua mereka di Stadium St Mary (aksi Liga Perdana Inggeris awal pagi esok).
Aubameyang bergelut untuk menemui prestasi terbaiknya musim ini di mana dia hanya menjaringkan lapan gol -- tiga daripadanya dijaringkan dalam tiga perlawanan terakhir -- selain melakukan satu bantuan jaringan sepanjang 20 perlawanan dalam kesemua kejohanan musim ini.
"Sudah pasti ia akan menjadi masalah (jika Aubameyang berehat panjang) kerana dia penyerang utama kami dan pemain yang menjaringkan gol terbanyak," kata Arteta dalam sidang media.
"Dia kapten kami dan pemain yang penting buat pasukan ini. Kami perlu menghormati waktu ini. Saya tidak mempunyai banyak maklumat untuk melihat perkembangan perkara ini dan harap-harap ia akan bergerak ke arah yang sepatutnya," katanya.

? "Disappointed with the way we lost it and the way we conceded the goal but we know that we should not be doing that in that area of the pitch." ? @m8arteta reacts to our #EmiratesFACup elimination...

— Arsenal (@Arsenal) January 23, 2021
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Martinelli melakukan penampilan pertamanya dalam tempoh tiga setengah minggu ketika berdepan The Saints susulan kecederaan buku lali dan dia kemudian dikeluarkan selepas beraksi hampir sejam.
Arteta mengesahkan Martinelli tidak mengalami kecederaan berulang dan menjangkakan pemain berusia 19 tahun itu akan mula memberikan sumbangan terbaik buat pasukannya.
"Dia tidak apa-apa. Ia hanya taktikal. Dia terlepas beberapa sesi latihan lalu kerana kecederaan tetapi saya menjangkakan sesuatu yang besar daripada Gabi.
"Dia amat membantu sejak dia menyertai kami semula selepas waktu yang panjang, jadi saya amat positif tentangnya," katanya lagi.
#Arsenal #Southampton #Liga Perdana Inggeris #Pierre-Emerick Aubameyang #Mikel Arteta