CAGLIARI 1 AC MILAN 2

Franck Kessie menjaringkan dua gol ketika AC Milan memperoleh kemenangan 2-1 ke atas Cagliari dalam perlawanan yang menyaksikan kedua-dua pasukan itu menamatkan saingan dengan 10 pemain di Sardegna Arena, awal pagi tadi.


Walaupun berbelanja besar ketika jendela perpindahan musim panas lalui, skuad Rossoneri itu bermula buruk dalam separuh pertama musim yang membawa kepada pemecatan jurulatih, Vincenzo Montella, pada November lalu.

Gennaro Gattuso meraih keputusan tidak menentu sejak mengambil alih pasukan dan ia kelihatan seperti hari yang buruk apabila Cagliari membuka jaringan setelah Gianluigi Donnarumma gagal menahan percubaan Nicolo Barella.

Mereka hampir dihukum dengan kesilapan Donnarumma ketika menafikan usaha Diego Farias, namun Franck Kessie -- salah seorang pemain yang bergelut mendapatkan prestasi terbaik -- menyamakan kedudukan hasil sepakan penalti selepas Luca Ceppitelli mengasari Nikola Kalinic.

Kessie menyelamatkan Milan dengan jaringan keduanya untuk mendahului separuh masa pertama tetapi skuad pelawat itu terpaksa melalui tempoh sukar apabila Ricardo Rodriguez dihalau keluar selepas menerima kad kuning kedua pada minit ke-80.

Bagaimanapun, Barella juga dilayangkan kad merah pada hujung perlawanan ketika Milan melakar kemenangan kedua berturut-turut dalam Serie A sejak September lalu.

Kemenangan itu membolehkan mereka naik ke tangga ke-11 tetapi ketinggalan 12 mata di belakang skuad di tangga keempat, Inter Milan, yang seri 1-1 dengan Roma.