Pengurus Leicester City, Claude Puel, enggan mengkritik penjaga golnya, Kasper Schmeichel, walaupun kesilapannya membenarkan Chelsea untuk mendahului dan seterusnya merakamkan kemenangan 2-1 di Stadium King Power, awal pagi tadi.

Schmeichel gagal menutup ruang ketika masa tambahan, lalu memudahkan Pedro untuk menyempurnakan peluang terhidang hasil hantaran silang N'Golo Kante untuk membawa Chelsea ke separuh akhir Piala FA.

Terdahulu, pemain antarabangsa Denmark itu ditewaskan oleh Alvaro Morata yang menemui sentuhan pemusnah sejak sehari selepas Krismas sebelum Jamie Vardy kembali menghidupkan peluang Leicester, lapan minit menuju waktu penamat.

Puel memberitahu BBC Sport: "Sejak awal lagi, saya menganggap Kasper merupakan penjaga gawang yang hebat. Ketika dibolosi, pasti ada pihak yang akan melakukan kesilapan tetapi dia tetap pemain hebat.

"Saya tidak boleh menyelarnya -- dia penjaga gol yang hebat, kami tidak bernasib baik hari ini."

Puel berasakan pasukannya lebih berhak merakamkan kejayaan dalam pertemuan menarik itu sambil menambah: "Pada masa ini, saya agak kecewa kerana saya fikir kami patut mendapat keputusan yang berbeza.

"Mereka lebih klinikal, gol Morata merupakan peluang tunggal mereka pada babak pertama. Memang sukar apabila dibolosi sebelum waktu rehat, namun kami kembali dengan lebih tenang dan berkualiti.

"Saya bangga dengan pemain saya kerana ini adalah satu perlawanan di tahap tinggi untuk berdepan pasukan mantap, kami bertambah baik dan kami layak mendapat keputusan berbeza."