ARGENTINA 0 CROATIA 3

Willy Caballero membenarkan Ante Rebic peluang yang sukar ditolaknya untuk Croatia memastikan kemenangan 3-0 ke atas Argentina, sekaligus menghantar mereka ke pusingan 16 Piala Dunia Russia.


Skuad argentina kendalian Jorge Sampaoli itu memperagakan aksi buruk dalam separuh masa kedua sehingga menjejaskan peluang mereka dalam Kumpulan D apabila hantaran Caballero gagal menemui Gabriel Mercado sebelum peluang itu dihidu Ante Rebic pada minit ke-53 yang menjadi titik tolak kepada kekalahan mereka awal pagi tadi.

Sisa kebangkitan lewat Argentina semakin kabur ketika permainan berbaki 10 minit apabila Luka Modric melebarkan kedudukan menerusi rembatan dari luar kotak penalti.

Argentina, bagaimanapun, terus berhempas-pulas pada penghujung perlawanan, namun mereka dihukum buat kali ketiga yang menyaksikan Ivan Rakitic menyudahkan peluang dari jarak dekat ekoran kelekaan pertahanan.

Lionel Messi, yang menjadi tumpuan utama selepas sepakan penaltinya diselamatkan ketika seri 1-1 dengan Iceland, genap seminggu lalu, sekali lagi terus dibayangi kelincahannya di Barcelona.

Messi sama-sekali gagal mencetuskan inspirasi buat Argentina, yang secara tidak langsung meletakkan mereka di dalam keadaan terdesak untuk melakar kemenangan selain perlu bergantung kepada perbezaan gol sekiranya masih memasang impian untuk ke peringkat kalah mati.