SWEDEN 2 PERANCIS 1

Didier Deschamps menegaskan dia tidak akan menyalahkan Hugo Lloris sekalipun ketua pasukan Perancis itu memberikan kemenangan bermakna buat Sweden dalam aksi kelayakan Piala Dunia, awal pagi tadi.


Gol Ola Toivonen dari tengah padang -- tiga minit dalam masa kecederaan -- menghukum Lloris, sekaligus memberi kemenangan 2-1 buat tuan rumah untuk menerajui Kumpulan A dengan mengatasi Les Bleus menerusi perbezaan jaringan.

Oliver Giroud meletakkan Perancis di depan sebelum Jimmy Durmaz menjadikan kedudukan seimbang 1-1.

Penjaga gol Tottenham Hotspur itu mengawal bola sambil diberi tekanan oleh pemain gantian, Sebastian Larsson, namun gagal mengeluarkan dengan baik sehingga membuka ruang buat Toivonen menempah kemenangan dengan bergaya selepas permainan itu dilihat hampir berakhir dengan seri.

Deschamps mendedahkan Lloris berasa sangat kecewa selepas perlawanan dan sedar akan kesilapannya, lalu jurulatihnya itu mendakwa itu bukan disengajakan.

"Saya tidak mahu mengkritik Hugo," kata Deschamps kepada TF1. "Dia sering menjadi watak penting buat kami.

"Dia lebih senang mengawal bola. Kalau dia mengeluarkannya jauh, tiada peluang bola itu akan datang semula. Namun, dia sedar mengenainya. Dia tahu ia adalah kesilapannya dan membawa padah buat kami.

"Dia seorang penjaga gol yang membuat kesilapan dan ia lebih menyerlah kerana bermain di posisi itu. Malang buatnya dan keseluruhan pasukan. Semua pemain kecewa, Hugo yang paling kecewa. Kekalahan sentiasa menyakitkan dan dalam keadaan ini, ia lebih memeritkan."

Tambah Deschamps: "Ia senario bencana. Jika kami tidak memenangi perlawanan ini, kami sepatutnya mencatat keputusan seri. Dengan kedudukan kini seimbang, kami harus berjuang sehingga penamat.

"Keputusan seri bukanlah ideal tetapi ia mata yang bagus, kami boleh menjarakkan diri dengan Sweden tetapi itu semua bukan lagi kelebihan.

"Saya lebih suka dengan keputusan berbeza, sesuatu yang positif kerana ia membenarkan kami kekal di puncak.

"Masih ada empat perlawanan lagi untuk diharungi -- 12 mata untuk direbut -- dan kami akan berjuang bermati-matian untuk mencapai matlamat kami."

"Pertembungan dengan Belanda di Stade de France pada 31 Ogos adalah penting, ketika ini ia menjadi lebih getir."

Perancis akan berdepan England dalam aksi persahabatan, pertengahan minggu depan.