Kesilapan individu hampir ragut kemenangan Terengganu

Tengku Danish Bahri
Julai 11, 2018 10:56 MYT
Kesilapan individu jelas mengganggu rentak Terengganu FC (TFC) walaupun mencatat kemenangan 3-1 untuk mengatasi Kuala Lumpur dalam aksi Liga Super di tempat sendiri, malam tadi.
Mengakui mereka bergelut dalam separuh masa pertama, Irfan Bakti Abu Salim menyifatkan TFC agak gopoh dan selepas gol penyamaan tercipta, barulah pemain-pemainnya lebih berani mengawal bola.
Bekas pengendali Felda United itu berkata prestasi beberapa pemain tidak memuaskan dengan J. Partiban dan Abdul Malik Mat Ariff antara pemain yang mendapat teguran.
"(Igor) Zonjic juga gagal mengawal Guilherme (De Paula), menyebabkan Kuala Lumpur mendahului, namun kesilapan itu ditebus dengan menjaringkan gol kedua kami," kata Irfan.
Walaupun menyamakan kedudukan buat Terengganu, persembahan ditampilkan Abdul Malik, ujarnya, bukan kekuatan sebenar bekas penggempur Kuantan FA itu selepas berehat panjang akibat kecederaan.
Menurutnya, tidak seperti pada awal musim, penjaring terbanyak pemain tempatan 2017 itu seolah-olah hilang keyakinan diri serta kerap meninggalkan tugasnya di atas padang.
"Begitu juga Partiban di bahagian sayap, sepatutnya dia lebih bijak mencari ruang kosong, sebaliknya lebih gemar membuat larian sia-sia, terutama ketika serangan balas," tambah Irfan lagi.