Jika Liverpool berhasrat untuk memintas Manchester City dalam memburu trofi Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini, persembahan mereka haruslah sempurna dalam semua perlawanan akan datang, terutama daripada segi pertahanan.

"Kami bermain dalam liga yang sama dengan Manchester City yang boleh saya golongkan sebagai antara pasukan terbaik dunia, " ujar pengurus, Jurgen Klopp, yang menambah: "Bukan mudah untuk kami mengatasi mereka, tetapi semestinya bukan mustahil juga.

"Apa yang pasti, City tidak akan kerap keciciran mata, jadi kami juga tidak boleh kehilangan mata dengan mudah.

"Pada detik ini, apa yang harus kami tekankan? Bagi saya, jawapannya adalah menunjukkan aspek pertahanan berkelas dunia.

"Kami sudah banyak maju daripada segi permainan dan juga serangan berbanding dahulu, kami mencatatkan perkembangan yang sangat positif dan skuad kami lebih stabil sekarang.

"Tetapi jika kami tidak konsisten, kejuaraan tidak akan dapat dicapai," kata Klopp lagi dalam temu bual bersama pelbagai sumber media British.

Empat tahun dahulu, Liverpool membeli Virgil Van Dijk daripada Southampton dengan harga £75 juta (RM422 juta) dan pemain pertahanan tengah itu bakal kembali menyertai skuad selepas terpaksa diketepikan akibat positif COVID-19.

"Virgil sememangnya sudah kembali ke tahap terbaiknya sekarang.

"Perkara yang paling membantu buat dirinya dan juga pihak kami adalah kami sekarang mempunyai pemain-pemain lain yang boleh mengambil alih tempatnya di saat tubuhnya memberikan isyarat bahawa dia perlu berehat seketika.

"Ketibaan Virgil ke dalam pasukan kami merupakan satu detik bersejarah dan membolehkan kami menginjak ke satu tahap baru daripada segi pertahanan," ujar Klopp lagi.



Liverpool bakal berhadapan dengan Leicester City di Stadium King Power dalam perlawanan terakhir mereka tahun ini dan The Reds masih mampu untuk menurunkan Mohamed Salah, Sadio Mane dan Naby Keita kerana perjalanan pemain-pemain ini untuk menyertai skuad negara masing-masing dalam Piala Negara-Negara Afrika terpaksa ditangguhkan.

Selain Van Dijk, Liverpool juga mengalu-alukan kehadiran semula Fabinho, Thiago dan Curtis Jones yang masing-masing disahkan bebas daripada virus COVID-19.

Dalam perkembangan lain, bekas penyerang Chelsea, Tony Cascarino, memberikan pendapatnya tentang isu rundingan Liverpool untuk mempersiapkan kontrak baru yang lebih lumayan buat pemain bintang mereka, Salah.

"Baru-baru ini, ada ramai pihak yang mengatakan Liverpool harus melakukan segala yang mereka mampu demi mengekalkan Mohamed Salah, termasuk mengiyakan sahaja tuntutan gajinya.

"Bagi saya, ini adalah satu kesilapan besar.

"Jika seseorang pemain ingin memaksimumkan pendapatan mereka, kunci paling utama adalah mereka harus beraksi bersama sebuah kelab yang mampu merebut gelaran juara.

"Soalan paling penting yang seharusnya Salah tanyakan pada dirinya sendiri adalah: Adakah saya sedang beraksi bersama sebuah pasukan yang boleh berjaya dalam Liga Perdana serta Liga Juara-Juara? Adakah saya memiliki seorang pengurus dan pasukan yang boleh membantu saya untuk menjadi gemilang di atas padang?

"Lihatlah contoh empat pemain ini yang gagal akibat membuat keputusan yang salah: Alexis Sanchez, Mesut Ozil, Eden Hazard dan Pierre-Emerick Aubameyang.

"Mereka semua menandatangani kontrak yang bernilai besar bersama kelab-kelab baru, tetapi kesemuanya gagal untuk merampas tempat sebagai pemain utama, walhal mereka menyertai kelab yang sememangnya terkenal dengan keupayaan untuk memenangi kejuaraan.

"Disebabkan keputusan yang silap, nilai mereka sebagai pemain jatuh merudum.

"Disebabkan ini juga, saya berpendapat Liverpool tidak seharusnya melaburkan wang yang terlampau banyak demi mengekalkan Salah sehingga gagal mengekalkan pemain-pemain penting lagi.

"Salah seharusnya tahu jika Liverpool berjaya merangkul lebih banyak kejuaraan, dia akan memperoleh lebih banyak wang daripada apa yang mampu dibayar oleh Liverpool sendiri."

Selepas 19 perlawanan sewaktu Liga Perdana Inggeris sudah pun mencecah separuh perjalanan, perlumbaan untuk merebut takhta juara dilihat seperti bakal menjadi persaingan tiga penjuru di antara Manchester City, Liverpool dan Chelsea.

Seperti yang disebut oleh Klopp, pasukan yang paling konsisten dan melakukan paling sedikit kesilapan bakal menjadi pemenangnya.

"Jurgen Klopp","Liverpool","Liga Perdana Inggeris","Rencana","Bola Sepak"