Pengendali pasukan, Roberto Martinez, mahu Belgium memperbaiki aksi ketika meraih kemenangan 3-0 ke atas Panama menjelang pertemuan kedua saingan Piala Dunia dengan Tunisia.

Belgium melakar kemenangan bergaya ke atas Panama menerusi jaringan Dries Mertens dan dua gol daripada Romelu Lukaku bagi memastikan mereka mendahului Kumpulan G.

Martinez mengakui permulaan perlahan daripada pasukannya menghadirkan kritikan daripada banyak pihak tetapi beliau berpuas hati dengan persembahan yang telah dipamerkan.

"Jika anda memberitahu saya sebelum perlawanan, anda akan memenangi perlawanan ini dengan tiga jaringan gol tanpa balas, anda akan meledak tiga gol, bermain dengan cantik, kerana perkara paling sukar dalam bola sepak adalah menjaringkan gol dalam aksi yang terbuka -- keputusan inilah yang kami mahukan," katanya.

"Anda tidak seharusnya mencari kesempurnaan. Sememangnya, kami perlu memperbaiki permainan kami. Kami akan melakukannya dan berbaki dua lagi perlawanan dalam peringkat kumpulan. Ia akan menjadi bekalan buat kami untuk menilai permainan pasukan secara teknikal dan taktikal.

"Secara fizikal, kami adalah sebuah pasukan yang kuat dan ia telah dibuktikan dalam separuh masa kedua ketika berdepan Panama."

Tunisia berjaya mengikat England 1-1 hingga penghujung permainan apabila Harry Kane meledak gol kemenangan buat The Three Lions.

Dan Martinez amat mengagumi apa yang telah disaksikan daripada skuad bimbingan Gareth Southgate itu.

"Setiap orang memiliki pandangan dan semua orang berhak memilikinya. Kami menyaksikan perlawanan itu, England memiliki semangat yang kental.

"Mereka menjaringkan dua gol daripada sepakan sudut, satu daripadanya hadir pada penghujung permainan.

"Belgium akan memberikan tumpuan kepada permainan kami sendiri. Kami akan cuba menampilkan aksi yang lebih baik ketika berdepan Tunisia sebelum menghadapi England," katanya lagi.