Massimiliano Allegri berasakan kesabaran yang dipamerkan oleh Juventus menjadi kunci kemenangan mereka dalam saingan Liga Juara-Juara (UCL) ke atas Tottenham.

Juara Serie A itu bangkit untuk melakar kemenangan 2-1 di Stadium Wembley awal pagi tadi bagi aksi timbal balik pusingan 16 untuk meraih kemenangan 4-3 secara agregat.

Penyerang kebangsaan Argentina, Gonzalo Higuain dan Paulo Dybala, menjaringkan gol dalam tempoh tiga minit untuk meletakkan Bianconeri mendahului perlawanan selepas Son Heung-min membuka jaringan buat tuan rumah sebelum tamat separuh masa pertama.

Allegri menyifatkan jaringan Juventus hadir tepat pada masanya, sekali gus menyaksikan mereka mara ke suku akhir.

"Pujian harus diberikan kepada pemain-pemain dan kelab di atas usaha mereka dalam beberapa musim ini," kata Allegri.

"Ia merupakan satu kemenangan yang bermakna di Stadium Wembley.

"Kami telah menunggu pada waktu yang tepat, mempamerkan kesabaran dan memenangi perlawanan ini.

"Juve bergelut dalam separuh masa pertama, hilang kawalan bola dan Spurs kerap memberikan tekanan ke kubu pertahanan kami," katanya.

Higuain kembali dalam perlawanan ini selepas pulih daripada kecederaan buku lali manakala Dybala juga turut pulih daripada kecederaan hamstring.

Kehadiran gandingan ini telah menghadirkan gol dan Allegri percaya membawa masuk Kwadwo Asamoah dan Stephan Lichtsteiner merupakan percaturan yang membuahkan hasil buat pasukannya.

"Saya melakukan pertukaran kerana kami memerlukan pendekatan yang berbeza. Asamoah kemas melakukan hantaran dan sering dipandang rendah dengan kualiti yang dimilikinya.

"Lichtsteiner bertindak cemerlang ketika bergandingan dengan Sami Khedira.

"Higuain direhatkan selama dua minggu, Dybala hanya mula beraksi pada Sabtu, jadi setiap pemain perlu berada pada tahap terbaik."