Belum pun reda isu doping yang membabitkan penjaga gol muda negara, Ahmad Syihan Hazmi, kini arena bola sepak negara dipalit skandal mengatur perlawanan.

Perkara itu membabitkan dua pemain pasukan Liga Perdana Sarawak sehingga membuat Usahasama Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) terus mengambil tindakan dengan menggantung kedua-dua pemain itu serta-merta.

Ketua Pegawai Eksekutif FMLLP, Kevin Ramalingam, mengesahkannya selepas menerima kehadiran Presiden Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS), Datuk Posa Majais, di pejabatnya, pagi tadi.

Dia juga menjelaskan tindakan tegas diambil terhadap kedua-dua pemain itu berdasarkan peraturan pertandingan yang ditetapkan dalam Liga Malaysia.

"Peraturan membenarkan kami untuk memastikan pemain-pemain ini tidak terlibat dalam sebarang perlawanan seterusnya sehingga kesahihan mengenai penglibatan mereka dalam kes rasuah dapat diputuskan kerana kami tidak mahu menjejaskan aksi dan menimbulkan sebarang tanda tanya," kata Kevin.

Menurut laporan media tempatan, kedua-dua pemain itu ditahan reman selama enam hari hari ini bagi membantu siasatan kes mengatur perlawanan dalam aksi Sarawak menentang Felcra FC, Sabtu lalu.

Suspek yang merupakan pertahanan dan pemain tengah berusia 28 tahun dan 30 tahun dicekup Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), semalam.

Kes itu disiasat di bawah Seksyen 16A, Akta SPRM 2009 kerana meminta dan menerima suapan dan jika sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda tidak lebih RM50,000 atau penjara tujuh tahun.

"Kami memang telah mengesyaki perkara ini berlaku dan ia telah diserahkan kepada SPRM untuk siasatan lanjut," tambah Posa.

"Pada mulanya, saya tidak mempercayai apa yang berlaku.

"Tiada sesiapa yang boleh tewas dalam masa lima minit terakhir selepas mendahului dua gol dan saya tahu apa yang saya katakan. Ia mustahil. Saya tidak mempercayainya," tambah pengendali Sarawak, Tarcisio Pugliesi.

Sementara itu, dua pemerhati bola sepak negara, Asmawi Bakiri dan Hasnizam Uzir, turut memandang serius skandal mengatur perlawanan dan menyifatkannya sebagai perkara merugikan.

"Ini satu gejala negatif yang melanda bola sepak Malaysia. Selepas pada tahun 1994, isu ini berlaku. Perkara ini sangat merugikan," kata Hasnizam.

"Isu ini merupakan satu amaran bahawa setiap pemain atau persatuan bola sepak sendiri akan dipantau kerana perkara ini merosakkan bola sepak negara," tambah Asmawi.