Kerajaan Indonesia kesal dengan tindakan segelintir penyokong fanatik mereka yang menimbulkan kekecohan dalam aksi Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Gelora Bung Karno semalam tatkala bantahan tetap diteruskan oleh Malaysia.

Indonesia menerusi Menteri Pemuda dan Olahraga, Imam Nahrawi, memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia ekoran kekecohan dan tindakan tidak profesional segelintir penyokong negaranya ke atas penyokong Malaysia.

Permohonan maaf itu dipaparkan menerusi klip video dalam akaun Instagram peribadi Nahrawi yang turut memaparkan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

"Hari ini saya bersama Syed Saddiq dan saya sudah meminta maaf atas insiden semalam. Semoga ia tidak berulang lagi dan ini penting buat semua penyokong Indonesia," katanya.

Sementara itu, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akan mengemukakan laporan insiden kekecohan di Gelora Bung Karno itu kepada Persekutuan Bolasepak Antarabanga (FIFA) dan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

Dalam satu kenyataan rasmi hari ini, FAM menyatakan sedang mengumpul bukti kukuh sebelum menyalurkannya kepada dua badan induk itu.

Insiden kekecohan semalam sudah bermula sebelum perlawanan apabila ketibaan penyokong Malaysia disambut dengan balingan objek keras.

Perlawanan terpaksa dihentikan seketika dalam babak kedua apabila ada penyokong Indonesia meloloskan diri di kawasan balapan tatkala objek keras, botol dan suar mula dilempar ke arah penyokong Malaysia.

Selepas perlawanan, pasukan negara terpaksa menaiki kereta perisai Barracuda untuk kawalan keselamatan pulang ke hotel penginapan mereka.