Scott McTominay berkata ia merupakan sesuatu yang "memang tidak adil" apabila gol pembukaan Edinson Cavani dalam babak pertama dibatalkan pengadil ketika Manchester United bangkit secara dramatik untuk menewaskan Tottenham Hotspur 3-1 dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) awal pagi tadi.

Pemain kebangsaan Uruguay, Cavani, sepatutnya meletakkan skuad The Red Devils itu di depan pada minit ke-33 tetapi jaringannya dibatalkan selepas lengan McTominay didapati terkena muka Son Heung-min dalam satu insiden lebih awal.

Keputusan itu diambil selepas pengadil, Chris Kavanagh, digesa untuk melakukan rujukan VAR di tepi padang.

Perasaan amarah pemain United memakan diri apabila Son, tidak lama selepas itu, meletakkan Tottenham di depan susulan memanfaatkan kesilapan pertahanan, Victor Lindelof.

Skuad kendalian Ole Gunnar Solskjaer itu, bagaimanapun, bangkit daripada ketinggalan menerusi gol Fred, Cavani dan Mason Greenwood, untuk melanjutkan rekod tanpa kalah mereka dalam perlawanan EPL di gelanggang lawan kepada 23 perlawanan -- hanya Arsenal pernah melakar rekod lebih baik di antara April 2003 dan September 2004 (27 perlawanan).

McTominay mendakwa pengadil itu "amat jelas telah melakukan kesilapan" tetapi dia sedar bahawa setiap pemain perlu membiasakan diri dengan VAR, yang kini menjadi sebahagian penting daripada sukan berkenaan.

"Saya pasti akan ada banyak pertikaian mengenainya," kata McTominay kepada Sky Sports.

"Pengadil perlu membuat keputusan, ia asam garam dalam permainan ini. Saya secara peribadi bukanlah peminat VAR tetapi ia kini sebahagian daripada sukan yang kami ceburi ini.

"Bagi kami, ia satu kes untuk terus bertenang. Amat jelas ia merupakan satu jaringan, pengadil sudah terang-terang melakukan kesilapan tetapi ia sudah berlaku, semua orang melakukan kesilapan dalam hidup, ia sebahagian asam garam mengenainya. Tiada apa-apa yang buruk untuk diperkatakan.

"Bagi kami, ia sememangnya tidak adil tetapi anda perlu kembali dalam perlawanan, tidak boleh membiarkannya mengganggu cara kami bermain sehingga penghujung separuh masa," katanya.