Ekoran digugurkan daripada saingan Liga Malaysia musim ini, semua keputusan yang melibatkan Kuantan FA tidak akan diambil kira, secara tidak langsung pungutan mata beberapa pasukan terjejas, terutama Felda United, Sarawak dan PDRM.

Perkara itu disahkan Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin, dengan penjelasan lanjut akan dibuat Liga Bolasepak Malaysia (MFL), esok.

Ini bermakna, tiga mata yang dipungut Felda, Sarawak dan PDRM tidak akan diambil kira selain Pulau Pinang yang mendapat satu mata bertemu Kuantan FA juga mengalami nasib sama.

"MFL akan membuat tindakan susulan dalam masa terdekat ini tentang kedudukan mata yang melibatkan pasukan dalam Liga Perdana.

"Kalau diikutkan prosedur normal, mata hasil keputusan perlawanan melibatkan Kuantan FA akan dibatalkan, sama ada menang atau kalah.

"Saya berasakan MFL mungkin akan memutuskan saingan Liga Perdana akan diteruskan dengan 11 pasukan sahaja sehinggalah penghujung musim ini," ujar beliau.

Mengenai nasib pemain dan barisan kejurulatihan, FAM dan MFL sedia membantu menyelesaikan sebahagian tunggakan gaji daripada baki geran tahunan yang diperuntukkan kepada kelab itu.

Menurut Hamidin, FAM tidak akan membiarkan isu berkenaan tanpa penyelesaian biarpun operasi Kuantan FA ditutup sepenuhnya.

Buat masa ini, pemain dan pegawai Kuantan FA musim ini masih berdepan tunggakan gaji di antara dua setengah bulan hingga tiga bulan.

"Semua pemain dan pegawai boleh membuat tuntutan kepada MFL. Jawatankuasa Status FAM akan membuat tindakan susulan kerana kami masih lagi mempunyai baki geran dan subsidi mereka," kata Hamidin lagi.