Ole Gunnar Solskjaer lega dengan kejayaan besar Cristiano Ronaldo dalam penampilan pertamanya buat Manchester United selepas penyerang veteran itu menjaringkan dua gol ke atas Newcastle United dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) malam tadi.

United kendalian Solskjaer menang 4-1 di Old Trafford pada ketika Ronaldo memulakan perlawanan dan menjaringkan gol pembukaan sebelum kembali meletakkan tuan rumah di depan selepas Javier Manquillo menyamakan kedudukan buat Newcastle.

Bruno Fernandes dan Jesse Lingard turut menemui sasaran pada penghujung permainan tetapi ia ternyata menjadi malam gemilang buat Ronaldo -- sama seperti yang diharapkan seluruh penyokong United.

Selepas lebih 12 tahun meninggalkan EPL, pemain berusia 36 tahun itu kembali menunjukkan sentuhan permusnahnya buat United.

Solskjaer berkata kepada Sky Sports bahawa dia tidak pernah terfikir untuk meletakkan Ronaldo di bangku pemain simpanan sambil menganggap "Ini adalah kehebatan Cristiano -- ini adalah hari untuk dinikmati semua orang".

Ternyata ia satu perlawanan untuk dinikmati penyokong tuan rumah di mana pasukan mereka melakukan 21 percubaan -- termasuk enam daripada Ronaldo -- dalam aksi penuh menyerang.



"Apabila anda memenangi perlawanan, anda menikmatinya," kata Solskjaer.

"Apabila anda melihat penyokong gambira, anda benar-benar menikmatinya.

"Terdapat banyak jangkaan, kesemuanya terpenuhi. Kami perlu melakukannya setiap masa. Itulah Manchester United. Ia tidak pernah berubah," katanya.