Tonggak Perak FC, Kenny Pallraj, amat terkesan dengan kehilangan bekas ketua jurulatih, Mehmet Durakovic, yang disifatkannya banyak berjasa dan seperti bapa kepada semua pemain pasukan itu.

Dalam masa sama, dia enggan situasi pertukaran jurulatih itu membunuh semangat mereka menjelang pembukaan Liga Super pada 5 Mac ini.

Nadi Arena pada Ahad lalu mendedahkan hubungan Perak FC dan Durakovic telah berakhir setelah kelibat jurulatih itu tidak kelihatan dalam sesi latihan pasukan berkenaan.

Sehari kemudian, Perak FC tampil memberikan pengesahan mengenai kedudukan pengendali itu yang ditamatkan kontrak menerusi persetujuan bersama dan mengumumkan Chong Yee Fatt sebagai jurulatih baru selepas mengadakan rundingan dengan Kuala Lumpur United FC.

Dalam satu temubual bersama wartawan Nadi Arena, Zulhelmi Zainal Azam, Kenny berkata: "Peranan Mehmet lebih daripada seorang jurulatih dan boleh dikatakan seperti seorang bapa.

"Sebab kebanyakan masa kami diluangkan bersama pasukan ini. Kami lebih banyak bersama pasukan ini berbanding dengan keluarga sendiri.

"Saya agak kurang juga berjumpa ibu bapa saya dan lebih banyak bersamanya.

"Secara sentimentalnya, pasti ada kesan mendalam di hati semua pemain kami.

"Ia sudah pasti menjadi tugas yang berat buat jurulatih Yee Fatt dengan waktu yang singkat selama dua minggu ini, dengan emosi pemain yang agak kucar-kacir ketika ini.

"Tetapi apa yang saya boleh janjikan, kami sebagai pemain akan membantunya dan dia seorang jurulatih akan membantu kami, jadi bersama-sama kami akan memberikan yang terbaik buat pasukan Perak," katanya.