11 perlawanan, 17 gol, tiga bantuan jaringan. Usia -- 22 tahun.

Menakjubkan, mengerikan, memberangsangkan, sesungguhnya kesemua perkataan yang seerti dengannya pun tidak cukup untuk menggambarkan betapa dahsyatnya seorang pemain bola sepak bernama Erling Braut Haaland ketika ini.

Dalam setiap perlawanan Manchester City yang membariskan namanya, ia seolah-olah menjadi satu penantian semata-mata, berapa cepatkah Haaland akan membolosi jaring lawan.

Perlawanan menentang Liverpool dua minggu lalu menjadi satu pengecualian yang jarang berlaku -- membuktikan Haaland tetap seorang manusia dan bukannya mesin ciptaan seperti yang diselorohkan ramai.

Namun, perlawanan berikutnya menentang Brighton pantas menyaksikan pemain antarabangsa Norway itu kembali ke landasan semula dengan menjaringkan dua gol.

Gol pertama dalam perlawanan itu wajar menjadi contoh betapa besarnya jurang kekuatan Haaland dengan pemain-pemain lain dalam liga.

Penjaga gol City, Ederson, melambungkan sepakan jarak jauh yang pantas disambut oleh Haaland dan langsung mengetepikan penjaga gol Brighton, Robert Sanchez.

Tinggal hanya pemain pertahanan, Adam Webster, seorang pemain berpengalaman yang memiliki ketinggian 191sm dan berat 75kg, untuk mengekang Haaland.

Kesudahannya?

Dengan hanya satu lagaan bahu dari Haaland, Webster jatuh tersungkur dan menggelongsor, bagaikan dirinya patung mainan.

Gol terbentang luas dan Haaland tidak mungkin melakukan kesilapan.

Pastinya ramai tertanya-tanya apakah rahsia ataupun petua yang diamalkan oleh penyerang ‘raksasa’ ini hingga mampu merekodkan pencapaian yang pastinya akan memecahkan rekod demi rekod pada masa akan datang?

Satu artikel terbitan akhbar Daily Mail merungkai sedikit-sebanyak persoalan tersebut dan memberikan pencerahan tentang kaedah-kaedah yang Haaland amalkan.

Pertama sekali, kaedah yang cukup mudah dan tidak mengejutkan -- mendapatkan tidur yang cukup.

Haaland dilaporkan bakal masuk tidur seawal jam 10 - 10.30 malam dan mematikan segala peranti elektronik berjam-jam sebelum itu.

Dia juga mengenakan cermin mata khas sewaktu tidur bagi menapis sebarang sinaran cahaya yang tidak menyihatkan, misalnya daripada skrin peranti.

Daripada segi pemakanan, dia mengambil jumlah kalori yang agak tinggi, iaitu sekitar 6,000 kalori setiap hari, dengan kebanyakannya datang daripada bahagian jantung dan hati lembu, sesuatu yang dianggapnya cukup berkhasiat dan kaya dengan mineral semulajadi.




Haaland dikatakan mengatur rutin pemakanannya dengan menjadikan Cristiano Ronaldo sebagai inspirasi, di mana pemain itu hanya mengambil makanan yang tinggi protein dan menyingkirkan segala yang tidak sihat secara menyeluruh.

Selain itu, satu lagi rahsia penting yang mendorong kepada peningkatan faktor kecergasan Haaland adalah dia seringkali ditemani oleh pakar fisioterapi dari kelabnya ke mana sahaja dia pergi, atas arahan pengurus City, Pep Guardiola.

Haaland dibelenggu oleh pelbagai kecederaan sewaktu bersama Borussia Dortmund musim lalu, antaranya kecederaan pinggul yang membataskan peluangnya beraksi dalam banyak perlawanan penting.

Namun, disebabkan penjagaan rapi musim ini, Haaland sedia turun ke padang saban minggu dan memberikan aksi terbaik.

Lucunya, terdapat satu petisyen di laman sesawang change.org, yang menyeru agar Haaland digantung daripada bermain bola sepak atas alasan 'ia tidak adil untuk pemain-pemain lain'.

Pepatah English mengatakan 'The best is yet to come', sememangnya kehadiran Haaland musim ini bakal mendatangkan igauan buruk buat ramai pihak, terutamanya barisan pertahanan lawan.