Kedah kempunan tiga mata untuk kembali menerajui Liga Super tatkala Selangor bangkit dengan jaringan penyamaan di lewat permainan menerusi Juliano Meneiro untuk kedua-dua pasukan terikat seri 1-1 di Selayang, malam tadi.

Babak pertama yang berakhir tanpa jaringan gol membawa kepada Kedah memasukkan Sandro da Silva dalam babak kedua.

Pemain berusia 33 tahun itu bijak menyempurnakan sepakan percuma pada minit ke-80 sebelum Selangor berjaya menyamakan kedudukan di hujung perlawanan menerusi percubaan jarak dekat Meneiro selepas sepakan penalti Victor Astafei mudah ditampan penjaga gol Kedah.

Pengendali Selangor, P. Maniam, memuji aksi anak buahnya yang bingkas bangkit selepas ketinggalan menerusi jaringan Sandro.

"Mereka (Kedah) tidak mencipta peluang kecuali jaringan gol menerusi sepakan percuma.

"Ketika ketinggalan, pemain saya bangkit dan itu satu perkembangan yang baik," jelas Maniam.

Sementara itu, ketua jurulatih Kedah, Tan Cheng Hoe, enggan gusar dengan keputusan itu, sebaliknya melihat ia peluang baik buat anak buahnya belajar daripada keputusan tersebut.

"Satu mata lebih baik berbanding tiada langsung. Sudah tentu pemain kecewa dengan keputusan ini tetapi saya yakin mereka akan belajar daripada keputusan ini untuk beraksi lebih baik pada masa akan datang," ujar Cheng Hoe.