Perak melompat ke tangga keempat Liga Super setelah menang tipis 2-1 ke atas PKNP FC di Stadium Negeri Pulau Pinang, Batu Kawan, semalam.

Kejayaan itu yang merupakan kemenangan kedua berturut-turut selepas menewaskan Selangor 3-0 dalam aksi terdahulu, menyaksikan skuad bimbingan Mehmet Durakovic itu dipisahkan lima mata di belakang pendahulu, Johor Darul Ta'zim (JDT).

Menurut Mehmet, kemenangan ini juga menjadi pembakar semangat Perak apabila bertemu PKNS FC dalam aksi timbal balik kejuaraan Piala FA, Sabtu ini.

"Saya sangat gembira. Pemain bermain dengan baik. Daripada keputusan ini, saya yakin ia akan menjadi pembakar semangat pemain untuk bertemu PKNS dalam perlawanan sulung pasukan di Stadium Perak nanti. Ini hadiah untuk peminat," ujarnya.

Dalam aksi semalam, dua gol Perak hadir pada babak pertama permainan menerusi Wander Luiz Bitencourt Junior pada minit ke-19 dan kapten pasukan, Mohamad Nasir Basharudin, pada minit ke-24.

PKNP, bagaimanapun, berjaya merapatkan kedudukan pada minit ke-81 hasil jaringan penyerang prolifik, Muhammad Shahrel Fikri Md. Fauzi.