Raphael Wicky gembira di atas kemenangan "istimewa" buat Basel selepas menewaskan Manchester City dalam saingan Liga Juara-Juara (UCL), awal pagi tadi.

Basel meraih kemenangan 2-1 di Stadium Etihad tetapi tewas 5-2 secara agregat walaupun terpaksa bangkit dalam perlawanan ini.

Juara Switzerland itu kini telah menewaskan kedua-dua pasukan Manchester dalam saingan UCL musim ini, dengan skuad kendalian Wicky itu meraih kemenangan 1-0 ke atas skuad kendalian Jose Mourinho dalam saingan peringkat kumpulan.

Basel mendahului saingan domestik dengan kelebihan 14 mata tetapi Wicky teruja selepas jaringan daripada Mohamed Elyounoussi dan Michael Lang memahat kemenangan yang amat berharga buat mereka.

"Ia bukan satu perlawanan yang mudah kerana mereka bermain dengan baik," kata Wicky.

"Saya tidak memberikan banyak arahan kepada pasukan ketika mereka ketinggalan. Sukar untuk menjerit di dalam stadium yang dipenuhi 50,000 penyokong.

"Kami menggunakan ruang dan berasakan kami mampu mencipta kejutan dalam perlawanan ini. Pemain-pemain telah mempamerkan persembahan yang membanggakan."