ATLETICO 2 RAYO VALLECANO 0

Diego Simeone menegaskan betapa mustahaknya kemenangan 2-0 Atletico Madrid ke atas Rayo Vallecano, awal pagi tadi.


Angel Correa menyumbat kedua-dua gol dalam pertembungan di Wanda Metropolitano itu ketika penyandang juara berkenaan kembali mencetak kemenangan LaLiga, sekali gus menamatkan rentetan empat kekalahan.

Los Rojiblancos melonjak ke tangga keempat LaLiga selepas menjinakkan lawan yang sama buat kali keenam selain tanpa dibolosi buat kali kelima berturut-turut.

Kembali ke bangku simpanan selepas dijangkiti COVID-19, maruah Simeone dalam bahaya untuk menjadi pengurus Atletico pertama yang tewas lima perlawanan liga berturut-turut sejak dilalui Ricardo Zamora pada 1942.

Tetapi pakar taktikal dari Argentina itu -- yang kini hanya tewas sekali sepanjang 14 perlawanan bertemu Vallecano -- berpuas hati dengan perwatakan yang ditonjolkan anak buahnya.

"Kemenangan ini cukup penting dan pemain mempamerkan rentak sebenar ketika menghadapi perlawanan ini," katanya.

"Saya suka dengan apa yang saya lihat. Ia adalah satu perlawanan yang hebat, baik secara individu mahupun kolektif.




"Anda melihat sebuah pasukan yang keras dan mantap yang tahu apa yang diperlukan. Apabila ada ruang, kami berlari dan apabila tiba masanya untuk menutup ruang, kami melakukannya. Ia penting.

“Realitinya keputusan sentiasa menjadi pemisah memandangkan dalam perlawanan sebelum ini, kami juga beraksi dengan baik tetapi kesilapan telah menghukum kami.

"Kami sedang berusaha untuk mencari kestabilan di bahagian pertahanan yang sentiasa menjadi elemen penting. Aksi secara kolektif perlu berada dalam keadaan yang cukup baik ketika kami berdepan sebuah pasukan yang cergas."

Atletico -- yang mengekori pendahulu, Real Madrid, dengan 14 mata tetapi berkelebihan satu perlawanan -- akan mengalihkan fokus mereka kepada pertembungan Copa del Rey dengan kelab divisyen ketiga, Rayo Majadahonda, Jumaat ini.