"Kedua-dua pasukan punyai kekuatan seimbang," demikian pandangan pengendali UiTM FC, Ismail Zakaria, bagi mengulas kemampuan PDRM menjelang aksi pembuka tirai Liga Perdana 2019, malam ini.

UiTM akan bertandang ke Stadium Selayang untuk aksi sulung Liga Perdana dengan menampilkan pasukan yang dibarisi hampir keseluruhan penuntut institusi berkenaan.

Begitupun, mereka turut diperkuatkan dengan kehadiran tiga pemain import, antaranya penyerang kebangsaan Brunei Darussalam, Adi Said.

Menurut Ismail, lawan mereka, PDRM, dijangka mempunyai kekuatan tersendiri kerana menggunakan khidmat anggota badan beruniform itu.

Lantas, pasukan mana yang dapat menyesuaikan diri dengan pantas dijangka mempunyai kelebihan.

"Aksi yang goyah dan gementar sentiasa hadir dalam perlawanan pertama. Saya berharap UiTM dapat menampilkan aksi yang lebih baik berbanding apa yang dipamerkan ketika pra-musim," katanya.

Sementara itu, Ismail menjelaskan UiTM berkemungkinan tidak dapat menurunkan salah seorang tonggak importnya, Zarko Korac, selepas pemain itu hanya tiba di Malaysia, semalam.

Korac sebelum ini pernah beraksi dengan Kuantan FA tahun lalu yang ketika itu di bawah kendalian Ismail.

Begitupun, jurulatih itu percaya kudrat import sedia ada dapat membantu UiTM untuk memberi saingan kepada PDRM.

"Kehadiran Korac diharap dapat digunakan dalam perlawanan malam ini dan pemain-pemain sedia ada perlu memastikan aksi berkualiti dipamerkan ketika bertemu PDRM."