Pep Guardiola menegaskan prestasi produktif Manchester United ketika ini bererti Manchester City masih tidak menganggap kejayaan merampas Liga Perdana Inggeris (EPL) sudah terjamin.

City memerlukan lima mata lagi bagi mengesahkan gelaran ketiga dalam tempoh empat musim dan pasukan bimbingannya itu mampu mendekati misi terbabit seandainya mereka menang di Crystal Palace, malam ini, sementara pencabar terdekat, United, pula tersungkur kepada juara bertahan, Liverpool, di tempat lawan malam esok.

Pengurus City dari Sepanyol itu tidak menafikan bahawa terganggu dengan cabaran saat-saat akhir dalam meniti kejayaan trofi musim ini, apatah lagi jiran sekota mereka berkenaan menjinakkan Roma 6-2 dalam aksi Liga Europa, semalam.

"Benarkan saya cuba mengalahkan Crystal Palace. Jangan tanya saya apa yang akan saya rasakan (jika saya memenangi gelaran) kerana saya belum meraihnya, ia masih belum berlaku," katanya dalam sidang akhbar.

"Saya tahu anda menjangkakannya, selain itu saya mahu membawa satu contoh lagi mengenai pencabar kami. United adalah sebuah pasukan luar biasa dan mereka menemui rentak terbaik mereka sejak dua bulan terakhir ini.

"Kami memerlukan lima mata lagi untuk menjadi juara dan esok kami memiliki peluang yang luar biasa untuk membuat langkah ini.

"Selepas menang, saya perlu membuat percaturan tentang langkah seterusnya. Kalau ia tetap berlaku maka bolehlah anda bertanyakan tentang perasaan saya. Tetapi saya tidak dapat menjelaskan mengenai perasaan saya pada masa depan kerana saya belum lagi mengalaminya."

United sekadar merakamkan dua kemenangan dalam lapan perlawanan EPL pada hujung Januari hingga awal Mac -- sekali gus membuka ruang buat City melebarkan kelebihan.






Kemenangan 2-0 ke atas City dalam 'derby' pertama musim ini merangsang mereka untuk melakar lima kemenangan berturut-turut sebelum rentak itu tersekat ketika tanpa jaringan di Leeds United, hujung minggu lalu.

Leeds baru-baru ini menewaskan City yang kerap membuat rombakan ke atas skuadnya, namun Guardiola tidak menolak untuk terus menerapkan pendekatan itu apabila berdepan Paris Saint-Germain (PSG) dalam aksi timbal balik Liga Juara-Juara (UCL) minggu depan.

Mereka bangkit untuk mebawa pulang kelebihan 2-1, Rabu lalu, apabila dibantu dengan kepakarannya menyusun strategi.

Begitupun, Guardiola sekali lagi menegaskan bahawa pujian harus diberikan kepada pemainnya -- mengakui rombakan kecil yang sering diamalkannya sejak beberapa tahun kebelakangan ini membantunya mengharungi jadual padat musim ini.

"Selama lima musim dalam kancah EPL ini, persiapan kami hampir sama dengan musim pertama ketika kami mengungguli kejuaraan ini," katanya.

"Saya sudah mengatakannya berkali-kali, semua pengurus di kelab utama mengalami kompilasi dan perlu beraksi setiap tiga hari, kami tidak memerlukan latihan.

"Saya seorang pengurus dan tidak saya suka mengambil kesempatan di atas padang demi mencorakkan pasukan kerana ia memerlukan masa.

"Satu-satu faktornya adalah disebabkan pilihan pemain yang kami ada, menerusi sumber yang ada dan kami mampu ubah beberapa idea dengan segera memandangkan mereka adalah pemain yang bijak.

"Bukan lagi rahsia. Dalam tempoh semusim, anda boleh berjaya tetapi untuk memenangi sesuatu yang penting, anda harus tekal selama bertahun-tahun dan untuk mengekalkannya ada satu ramuan -- jangan jual pemain terbilang yang anda miliki. Jangan menjualnya kepada prospek.

"Sekiranya anda memiliki pasukan seperti ini maka anda mampu bertahan lebih lama."