Pertahanan kiri Real Madrid, Ferland Mendy, bakal terlepas perlawanan LaLiga dengan Granada, awal pagi esok, selepas dihimpit satu lagi kecederaan.

Kelab itu mengesahkan pemain antarabangsa Perancis berkenaan menderita masalah di bahagian tulang keting sebaik selesai ujian semalam.

Berita itu menjadi tamparan hebat terbaru buat Madrid yang acap diganggu krisis kecederaan musim ini terutama di bahagian pertahanan.

Mendy terlepas lima perlawanan LaLiga terakhir termasuk pertemuan pertama separuh akhir Liga Juara-Juara (UCL) bertemu Chelsea akibat kecederaan betis.

Ketua pasukan, Sergio Ramos, Raphael Varane, Dani Carvajal dan Lucas Vazquez turut bergelut dengan faktor kecergasan sepanjang 2021 apabila kesemuanya terlepas aksi ketika seri 2-2 dengan Sevilla, kelmarin.

Keputusan itu menempatkan Madrid di tempat kedua dengan berbaki tiga perlawanan, setaraf dengan Barcelona tetapi di depan berdasarkan rekod pertemuan sambil Atletico Madrid dua mata menguasai puncak.

Madrid hanya menang tiga daripada 10 perlawanan ketika Mendy tersisih musim ini kecuali sekali dalam liga.

Gergasi kota Sepanyol itu mengutip purata 2.4 mata per perlawanan ketika menurunkan bekas tonggak Lyon berkenaan berbanding hanya 1.4 mata tanpanya.